Sunday, September 18, 2011

YAMASHITA TOMOYUKI


Jeneral Tomoyuki Yamashita (山下 奉文 Yamashita Tomoyuki) (8 November 1885 – 23 Februari 1946) adalah seorang Jeneral Tentera Imperial Jepun semasa Perang Dunia II. Dia paling dikenali kerana berjaya memimpin Ketumbukan Ke-25 Tentera Jepun semasa kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Kerana kejayaan ini, Yamashita menerima jolokan “Harimau Malaya”.



Yamashita dilahirkan di sebuah perkampungan kecil bernama Osugi Mura di Pulau Shikoku pada 8 November 1885. Selepas lulus dari Akademi Kadet dalam tahun 1905, Yamashita menghadiri Maktab Peperangan Tentera Darat (Army War College (Japan)) dalam tahun 1913 hingga tahun 1916. Dalam tahun-tahun 1919 hingga 1922, Yamashita ditugaskan sebagai Atase Pertahanan di Berlin, Jerman dan di Bern, Switzerland.


Lt Jen Yamashita (duduk, tengah) menumbuk meja dengan tangannya untuk memaksa Panglima British Lt Jen Percival untuk menyerah kalah. (Foto Imperial War Museum).Walaupun dia berkebolehan, Yamashita tidak disenangi oleh pucuk pimpinan Tentera kerana penglibatan beliau dalam kumpulan pendesak dalam tahun 1920-an dan 1930-an. Yamashita berselisihan faham dengan Menteri Perang (Menteri Pertahanan) Hideki Tojo yang memimpin kumpulan "Control Faction" yang menjadi saingan utama kepada kumpulan "Imperial Way" yang menjadi ikutan Yamashita.

Yamashita juga tidak disukai oleh Maharaja Showa kerana telah membuat rayuan belas kasihan daripada Maharaja ke atas kumpulan pegawai yang memberontak dalam Kejadian 26 Februari 1936 (Pemberontakan Pegawai-Pegawai Muda). Yamashita juga mendesak supaya Jepun meninggalkan wilayah China dan untuk mengadakan perhubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Britain. Ini menyebabkan Yamashita tidak diambil peduli dan ditugaskan ke jawatan tidak penting dalam Tentera Kwangtung .

Dari tahun 1938 hingga 1940, Yamashita menjadi panglima Divisyen Ke-4 Infantri dan terlibat dalam operasi pembasmian pemberontakan di China yang menentang penjajahan Jepun. Dalam bulan Disember 1940, Yamashita dihantar menjalankan tugasan sulit ke Jerman dan Itali di mana dia berjumpa dengan Hitler dan Mussolini



Pada 6 November 1941, Yamashita dilantik menjadi Panglima Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun. Pada 8 Disember 1941, Yamashita melancarkan kempen untuk menakluk Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura daripada pangkalan-pangkalan di Indochina. Dalam kempen yang berkesudahan dengan kekalahan Tentera British seramai lebih 130,000 orang oleh 30,000 orang askar Jepun menaikkan nama Yamashita. Gambar Lt. Jen. A. E. Percival berjalan dengan bendera putih dipaparkan di seluruh dunia dan disifatkan oleh Winston Churchill sebagai kekalahan paling teruk dalam sejarah ketenteraan British. Kejayaan Yamashita membuatkannya diberikan gelaran “Harimau Malaya”.

Kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan penaklukan Singapura diiringi oleh banyak kejadian kekejaman yang dilakukan oleh askar-askar Jepun seperti Pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong melibatkan ratusan askar Australia dan India yang cedera dibunuh oleh askar-askar dari Divisyen Pengawal Imperial Jepun, pembunuhan kakitangan dan pesakit di Hospital Tentera Alexandra, Pembunuhan beramai-ramai Sook Ching di mana lebih 5,000 orang awam berbangsa Cina dibunuh secara sistematik sebagai pembersihan elemen-elemen yang memusuhi Jepun di kalangan masyarakat tersebut. Penglibatan Yamashita di dalam perlaksanaan kekejaman ini masih menjadi bahan perbahasan.

Pad 17 Julai 1942, Yamashita dihantar dari Singapura ke Manchuria sebagai Panglima Ketumbukan Tentera Pertama, dan dengan ini terasing daripada sebahagian besar Perang Pasifik. Pengasingan Yamashita sekali lagi disebabkan oleh permusuhan Perdana Menteri Hideki Tojo, yang menggunakan kesilapan Yamashita semasa berucap di Singapura sebagai alasan pengasingannya. Yamashita tersilap cakap apabila memanggil rakyat di Singapura sebagai “rakyat empayar Jepun” sedangkan Kerajaan Jepun tidak menganggap rakyat jajahan takluknya sebagai rakyat Jepun dan tidak diberikan hak dan keistimewaan yang diberikan kepada rakyat Jepun..

[WIKIPEDIA]

No comments:

Post a Comment